Keputusan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat
bekas pembantu peribadinya akan dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
hari ini selepas pendengaran 87 hari mulai tahun 2008.

Anwar
didakwa meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium
Desa Damansara pada 26 Jun 2008 dan menghadapi hukuman penjara sehingga
20 tahun jika didapati bersalah.
Beliau menafikan tuduhan itu dan
ia sebagai satu konspirasi politik untuk memusnahkan kerjaya politiknya
dan juga peluang Pakatan Rakyat bagi menumbangkan BN pada pilihan raya
umum akan datang.
Seawal jam 5 pagi, penyokongnya mula berkumpul
di tempat letak kereta perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala
Lumpur, walaupun ketika itu hujan renyai-renyai bagi menunjukkan
sokongan mereka.

Lebih
ramai juga dijangka akan tiba sebelum keputusan perbicaraan liwat II
yang membabitkan ketua pembangkang itu diumumkan hari ini.
Tidak kurang juga tedapat puluhan kenderaan polis dan anggotanya yang dikerahkan bagi memantau keadaan di situ.
Penyokong
yang hadir itu antara lain membawa sepanduk yang tertera perkataan
"Rakyat Hakim Negara" dan "Tolak Fitnah, Lawan Konspirasi".
Mereka
juga memakai kain berwarna biru dengan tertera perkataan "Keadilan" dan
kain lilit kepala hijau dengan perkataan "Hidup Anwar".
LAPORAN LANGSUNG
11.38am: Saksi kejadian yang merupakan seorang peniaga memberitahu tidak nampak apa-apa berlaku ketika letupan berlaku.
11.20am: Dua orang dipercayai tercedera akibat letupan sebelum ini.
11.15am:
Kawasan tempat letupan kedengaran yang ditutup dengan garisan kuning
menempatkan tiga kenderaan penjaja dan beberapa buah kenderaan awam lain
termasuk motorsikal.
Polis membenarkan kenderaan yang diparkir di bawah medan selera keluar daripada kawasan berpagar kuning.
Polis juga membawa dua ekor anjing pengesan untuk memeriksa keadaan sekeliling.
11.10am: Orang ramai mula bersurai setelah diarahkan polis kerana keadaan tidak selamat.
11.04am: Keseluruhan tiga letupan kedengaran di kawasan mahkamah antara jam 10.15 hingga 10.55 pagi.
10.48am:
Anwar disekat lagi ketika dalam perjalanan untuk keluar daripada
mahkamah, kali ini oleh pihak media yang mahukan kenyataannya.
Selepas kenyataan ringkas, Anwar dibawa dengan kenderaan untuk menunaikan solat syukur di masjid.
Ribuan
rakyat masih lagi berhimpun di atas jalan raya mendengar ucapan
daripada pemimpin Pakatan Rakyat antaranya Tian Chua, Nasrudin Hasan dan
Badrul Hisham Shaharin.
10.46am: Kira-kira 30 polis bergegas ke kawasan letupan dan memagarnya dengan garisan kuning.
10.22am: Orang ramai yang hadir duduk diatas jalan raya mendengar ucapan sempena pembebasan anwar daripada tuduhan liwat.
Naib Presiden PKR Tian Chua menyifatkan kemenangan ini memperlihatkan kebangkitan rakyat.
Manakala Nasrudin pula menyifatkan kemenangan adalah "langkah menghampiri Putrajaya dan rakyat merupakan hakim negara.
Sementara Badrul mendakwa walaupun anwar dibebaskan tetapi wujudnya konspirasi dan rakyat tak bolah berdiam diri.

"Kita kena bangkit, peguam negara letak jawatan," katanya.
Bahkan beliau mendesak Najib letak jawatan kerana beliau bertanggung bertemu dengan Saiful.
"Saiful jumpa Najib, bermakna beliau bertanggungjawab, Najib letak jawatan," katanya diiringi sorakan penyokong.
"Najib
masih ditampuk (pemerintahan), rakyat tidak akan duduk diam," katanya
sambil disambut laungan "bangkit rakyat", "undur Najib" dan "letak
jawatan".
"Kita cabar Najib, kalau hebat, kita tuntut bubar parlimen," katanya.
10.22am:
Polis berusaha untuk menyuraikan kumpulan pro-Saiful di dalam masjid
untuk membolehkan penyokong Anwar memasuki kawasan tersebut.
10.10am:
Polis bagaimanapun tidak membenarkan kumpulan berkenaan terus mara
untuk mengelakkan satu lagi pergaduhan tercetus. Orang ramai yang
melalui kawasan masjid ‘boo’ penyokong PERKASA dan Perkida.
9.58am: Menurut Tian Chua, keputusan hari ini membuktikan tuduhan ke atas Anwar adalah palsu.
9.50am: Orang ramai mula bergerak dari tempat parkir kereta ke medan selera berhampiran Masjid Wlayah persekutuan.
Tian Chua dan beberapa pemimpin PKR kelihatan berucap kepada orang ramai yang sedang bergembira itu dari bumbung bangunan.
9.42am: Anwar mengucapkan alhamdulillah dan berkata kebenaran akhirnya dapat ditegakkan.

“Saya berterima kasih kepada Wan Azizah dan keluarga kerana menyokong dan juga barisan peguam.
“Saya akhirnya dibebaskan selepas diaibkan sedemikian,” katanya di luar mahkamah.
Beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan pemimpin Pakatan dan ahli-ahli serta orang ramai yang menyokongnya.
Katanya, agenda reformasi bagi menentang rasuah dan kebebasan media mesti diteruskan.
9.32am: Dalam reaksi spontannya, anak Anwar - Nurul Izzah menulis di Twitter:
"Judge: reading results immediately. Evidence not corroborated. Papa is acquitted! Takbir!"
9.23am:
Hakim Mohamad Zabidin, dalam keputusan yang mengejutkan memutuskan
Anwar tidak bersalah dan mengarahkan supaya beliau dibebas dan
dilepaskan.
Hakim Mohamad Zabidin yang tidak membaca penghakiman
penuh kecuali kesimpulannya berkata kedua-dua bukti iaitu DNA dan juga
bukti lisan tak boleh menyabit kesalahan.
"Selepas meneliti bukti, saya tidak boleh pasti 100 peratus bahawa bukti telah diusik.

"Justeru, mahkamah keberatan menerima bukti sedemikian dari SP1 Saiful."
Isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail kelihatan menanggis sambil memeluk suaminya dalam kegirangan.
Seluruh mahkamah kecoh seketika dengan penyokong Anwar menjerit gembira.
9.20am: Perbicaraan dimulakan dengan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mengambil tempatnya.
9.17am:
Satu pergaduhan kecil tercetus apabila lebih 50 orang kumpulan
penyokong Saiful bergerak turun daripada kawasan masjid dan bergerak
menuju ke kawasan letak kereta mahkamah.

Kumpulan itu dihalang oleh ratusan lagi penyokong Anwar di jalan yang menempatkan pusat penjaja medan selera di jalan tersebut.
Kumpulan penyokong Anwar tidak berpuas hati dengan tindakan penyokong Saiful yang membawa kain sepanduk ketika berarak.
Cabar mencabar di kalangan kedua-dua kumpulan penyokong berlaku dan berlaku pergelutan kecil di antara beberapa orang.
Kumpulan
penyokong Saiful kemudiannya berundur apabila terus diasak kumpulan pro
Anwar dan kemudiannya masuk semula ke kawasan masjid.

Polis yang tiba beberapa minit selepas itu kemudiannya bertindak menutup pintu pagar masjid.
Polis juga tidak membenarkan kumpulan pro-Anwar terus mara ke dalam masjid untuk mengelakkan satu lagi pergaduhan tercetus.
10.46am
Ribuan lagi masih menunggu di hadapan medan selera di Jalan Khidmat
Setia untuk mendengar ucapan Anwar. Tiba-tiba terdengar letupan kuat
dari kawasan pencawang elektrik berhampiran medan selera.
10.25am Anwar keluar dari mahkamah dengan sorakan daripada penyokong yang bersemangat.
Dalam
ucapannya kepada kumpulan penyokong itu, Anwar berkata keputusan hari
ini bukan keputusan seorang lelaki dan menjadi tanggungjawab untuk
membebaskan rakyat.
Beliau kemudian menuju ke arah Masjid Wilayah.
9.15am: Pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang juga berada dalam mahkamah.
9.14am:
Menurut laman Facebook Polis, setakat jam 9 pagi, jumlah orang ramai
yang berhimpun pada ralli 901 ini dianggarkan berjumlah 4,500.
9.05am:
Seorang penyelaras perhimpunan memberitahu orang ramai bahawa Mursyidul
Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat juga hadir dan beliau telah dibenarkan
masuk ke dalam mahkamah.
9.01am: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan naib presidennya Datuk Mahfuz Omar aantara pemimpin PAS yang hadir.
8.59am:
Annie Ooi yang dikenali sebagai Makcik Bersih tiba di mahkamah bagi
menunjukkan sokongan kepada Anwar dengan memakai kemeja T kuning
'Generation 709'.
Katanya kepada wartawan beliau datang dengan menaiki bas.
"Senang sahaja datang sini,” katanya cuba mengelakkan jurugambar daripada merakamkan gambarnya.
"Banyak marah, apa diaorang buat pada rakyat".
8.37am: Para diplomat dan wartawan mula dibenarkan masuk. Turut dibenarkan ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.
8.32am: Turut kelihatan adalah Nasir Hashim PSM dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang bersama dengan rakyat.
8.30am:
Anwar dan keluarganya tiba sambil diberi sambutan gemuruh dengan
laungan “reformasi’ bergema sekitar kawasan ini. Jumlah yang hadir
semakin ramai dan sukar dianggarkan dengan tepat kerana mereka tidak
berkumpul setempat.
Beliau memakai baju biru dan seluar hitam dan kelihatan tenang.
8.25am:
Bekas speaker Perak V Sivakumar berkata: "Di kompleks mahkamah ini,
kita tahu apa yang berlaku dahulu - semua kes kita semasa krisis Perak,
kita kalah.
"Kita tahu pengadilan macam mana yang akan kita terima tetapi rakyat Malaysia tetap akan menuntut Keadilan!”
8.22am:
Duta dan perwakilan asing dari Amerika Syarikat, Kanada, Australia,
United Kingdom dan beberapa negara Eropah mula berbaris menunggu
dibenarkan masuk ke mahkamah untuk mengikuti perbicaraan ini.

Pemerhati antarabangsa dari Kesatuan Parlimen Antarabangsa atau Inter Parliamentary Union Mark Trowell juga hadir.
8.20am:
Setiausaha Agung Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia
(Permas) Zulkifly Sharif berkata pihaknya kini sedang mengumpul
ahli-ahlinya termasuk PERKASA, PEKIDA dan Putra Malaysia berkumpul di
anjung B Masjid Wilayah.
Mereka juga turut mengagihkan baju kuning tertera tulisan "Antik Sex Bebas 901" kepada ahli-ahli.
Jumlah yang hadir tidak lebih 50 orang.
8.15am:
Menteri Besar Perak yang disingkirkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin
memberitahu hadirin bahawa mereka berkumpul dengan harapan hakim kes
perbicaraan ini tidak dipengaruhi oleh kehendak pemimpin Umno.
“Kami berharap hakim akan buat keputusan yang tidak memihak,” katanya.
Sementara
itu, polis juga mula mengarahkan orang ramai supaya bergerak ke arah
kawasan parkir kereta dan tidak berkumpul di jalan.
8.05am:
Laungan reformasi oleh penyokong Anwar di kawasan parkir mahkamah jelas
kedengaran pada jarak dianggarkan 500 meter dari kawasan Masjid Wilayah
Persekutuan.

Kawasan
masjid bagaimanapun masih tenang dengan kumpulan penyokong Mohd Saiful
Bukhari Azlan membuat persediaan demo dengan memakai kemeja-t khas "anti
seks bebas 901", sambil menunggu ketibaan para pembesar mereka.
8.12am: Antara pemimpin PKR yang dilihat berada di luar mahkamah adalah Azmin Ali, N Surendran dan Datuk Chua Jui Meng.
8.05am: Beberapa orang penyokong Pekida dikesan di dalam kawasan parkir masjid sambil membawa bendera pertubuhan tersebut.

Kumpulan ini dipercayai sedang menunggu pemimpin mereka.
8.03am: Ketua Srikandi PKR Siti Aishah Shaik Ismail berucap pada hadirin.
"Apapun keputusan hari ini, gelombang ini mesti bangkit dan pastikan Umno tumbang.”
7.45am:
Ketua BERSIH 2.0 Datuk S Ambiga tiba dan diikuti oleh Sasterawan Negara
Datuk A Samad Said. Jumlah yang hadir dianggarkan 5,000 orang.
7.40am:
Penyelaras perhimpunan meminta penyokong supaya beralih ke tempat letak
kereta kerana jumlah yang semakin ramai itu mula berkumpul di
jalan-jalan menuju ke mahkamah.
7.40am: Belum ada tanda-tanda kumpulan Pekida atau PERKASA berada di Masjid Wilayah Persekutuan, tempat sepatutnya mereka berkumpul.
Malah
kumpulan yang banyak berada di sekitar masjid adalah kumpulan pro-Anwar
yang sekarang sedang berpusu-pusu keluar ke kawasan parkir mahkamah.
7.36am:
Setiausaha agung DAP yang juga adalah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim
Guan Eng juga hadir. Selain itu kelihatan juga pemimpin lain seperti
Tian Chua, Rafizi Ramli dan S Sivarasa.
7.31am: Naib presiden PKR memberitahu hadirin bahawa hanya terdapat satu kes di mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Katanya,
Anwar dan beberapa pemimpin Pakatan yang lain akan menyampaikan ucapan
ringkas sebelum masuk ke mahkamah pada jam 8.30 pagi.
Menurut
beliau lagi, hanya Anwar dan ahli keluarganya, diplomat, media dan 10
orang dari Pakatan dibenarkan masuk ke mahkamah manakala yang lain
terpaksa tunggu di luar.
Ketika perbicaraan berlangsung, pihaknya
akan mengatur supaya apa yang berlaku dapat disampaikan kepada mereka
yang menunggu di luar.
7.30am: Jumlah penyokong
di luar mahkamah semakin ramai. Dianggarkan sekitar dua ribu yang hadir.
Kelihatan juga beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat yang mula tiba.
7.19am: Dua buah kenderaan van polis mengambil tempat di ruang parkir Masjid Wilayah Persekutuan yang mulai dipenuhi kenderaan.
Van ambulans turut mengambil tempat di dalam kawasan masjid.
7.12 am:
Di Masjid Wilayah Persekutuan, tempat PERKASA dan sekutunya mengadakan
perhimpunan kelihatan seorang penceramah sedang menyampaikan kuliah
subuh.
Tidak kelihatan pemimpin PERKASA atau Pekida setakat ini
di dalam ruang solat utama masjid. Situasi dalam masjid lengang, kecuali
kira-kira 30 jamaah sedang mendengar kuliah subuh.
7.01 am:
Ketua Srikandi PKR Siti Aishah Ismail memberitahu para penyokong bahawa
smua plakad selain "Bebaskan Anwar 901 dibenarkan di bawa masuk ke
tempat berhimpun.

Orang
ramai ketika ini kelihatan berpusu-pusu masuk ke kawasan berhimpun
sambil mengucapkan salam kepada pegawai polis yang mengawal di hadapan
pintu masuk.
Jumlah kenderaan polis itu termasuk;
21 trak polis
1 meriam air
33 van
1 mobile command post
3 bas yang membawa anggota polis
4 Landrovers Light Strike Force
7.00 am: Antara penyokong hadir termasuk dari Dapsy, ABU, Jingga 13, PKR dan ahli PAS.